1. من علامات الإعتماد على العمل نقصان الرجاء عند وجود الزلل
DIANTARA TANDA-TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (HASIL PEKERJAAN) ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.
Imam Ibnu
Athaillah memulakan Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada
hakikat amal. Amal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan
perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa
orang boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung
dengan perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza
antara seorang dengan seorang yang lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi
suasana hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir.
Jika hati
dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga
kepada amal, sekalipun ianya amalan batin. Hati yang bebas daripada bersandar
kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap
kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa
sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t
tanpa sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan
amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk
tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi
perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak
membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan
manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut
kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang
mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh
kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong
ketuhanan Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut
perbuatan makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan
makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan
perbuatan seseorang atau sesuatu.Sebelum menjadi seorang yang arif, hati
manusia memang berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun
yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang
mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin
adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut
berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan perolehi baik
di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat
manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka
hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah
s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa
diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam
Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya.
Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau
dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat
dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat
lemah. Firman-Nya:
يَٰبَنِيَّ
ٱذۡهَبُواْ فَتَحَسَّسُواْ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَاْيَۡٔسُواْ مِن
رَّوۡحِ ٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ لَا يَاْيَۡٔسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ
ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨٧
“Wahai
anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya
(Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan
Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah
melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di atas
menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan
pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan
kepada Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan
hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak
mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini
bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu
beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya.
Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat
Allah s.w.t. Apa juga yang Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti
terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan
terhadap yang demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian
hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka
sandarkan segala perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang
mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia.
Orang yang
tidak beriman kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeza.
Pergantungan mereka hanya tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di
dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan
kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat
hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain)
gagal mendatangkan hasil, mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah
mereka orang yang berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan
Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat
dari-Nya.
Jika orang
kafir tidak bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan
sebahagian orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya
menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana
kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin
mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di
dunia.Dia mengharapkan semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat
mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau
pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada
bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak amal kebaikan yang
dilakukannya bertambah besarlah harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan
hidupnya.
Sebahagian
kaum muslimin yang lain mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di
akhirat. Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga
bagi menjauhkan azab api neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal
sangat lemah, terutamanya mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal
mereka. Mereka tidak tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup
mereka sentiasa selesa dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan.
Apabila sesuatu itu berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan
gelisah. Bala bencana membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang
paling malang di atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan,
mereka merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka
sendiri. Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong.
Apabila
rohani seseorang bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya
mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah
duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t
seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya
yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang
kerohanian dengan amal yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang
sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang
biasa dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia
berasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaan
mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.
Jadi, ada
golongan yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang
bersandar kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang
kepada keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat
berpegang kepada amal zahir, iaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau
ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk
mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat
permulaan pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti sembahyang dan
berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka
lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah
s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan
mereka untuk mendapatkan anugerah Allah s.w.t.
Dalam
perkara bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama
ada ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan
pengurusan sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu
yang menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah
penggunaan ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan
keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah
s.w.t yang meletakkan keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.
Seterusnya,
sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih
tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:
لا حول ولا قوة إلا
بالله
Tiada daya
dan upaya kecuali beserta Allah.
وَٱللَّهُ خَلَقَكُمۡ
وَمَا تَعۡمَلُونَ ٩٦
“Padahal
Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 :
Surah as- Saaffaat )
Orang yang
di dalam makam ini tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang
dilakukannya namun, hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah
kurniaan Allah s.w.t kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah
s.w.t tentu tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t
berfirman:
قَالَ هَٰذَا مِن
فَضۡلِ رَبِّي لِيَبۡلُوَنِيٓ ءَأَشۡكُرُ أَمۡ أَكۡفُرُۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا
يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيّٞ كَرِيمٞ ٤٠
“Ini ialah
dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak
mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka
faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa
yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana
sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml )
وَمَا تَشَآءُونَ
إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمٗا ٣٠
يُدۡخِلُ مَن يَشَآءُ
فِي رَحۡمَتِهِۦۚ وَٱلظَّٰلِمِينَ أَعَدَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمَۢا ٣١
Dan tiadalah
kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang
dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan
sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya
(dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia
menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30
& 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya
adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada
takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan
makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam
ariffin iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi
bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal
ibadat.
Orang yang
masuk ke dalam lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t,
akan sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu.
Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.
Di awal
perjalanan menuju Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan
syariat. Dia melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir
dengan Allah s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk
berjaya dalam perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata
hatinya terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat
atau penyebab. Pandangannya beralih kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat
semua amalannya adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan
Allah s.w.t juga kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya
dan dia mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat
lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya,
Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah
mengenali dirinya dan Tuhannya, pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat
dan Iradat Allah s.w.t yang menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini.
Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah
diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah
s.w.t yang faqir.